SERDANG, 5 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjadi rakan strategik bagi membantu membangunkan kebun-kebun komuniti dengan membudayakan amalan pertanian bandar dan penjanaan ekonomi serta pendapatan sampingan komuniti melalui pakar UPM.
Pengurus Kebun Komuniti KRT Kajang Utama, Ibrahim Martibi berkata, UPM telah membantu penduduk di sini menguruskan kebun tersebut bagi menanam sayur-sayuran dengan cara yang mudah tanpa menggunakan cangkul serta menghasilkan black soldier fly (BSF).
“Kebun kami telah menghasilkan tanaman bayam brazil dengan menggunakan sebuah tong yang diubah suai kerana ianya tidak memerlukan kawasan yang banyak untuk menanam sayur di kebun komuniti ini dan juga menghasilkan BSF menggunakan sisa makanan penduduk di sini.
“Terima kasih UPM kerana telah menjadi rakan strategik kami untuk menghasilkan sayur yang segar dengan ilmu yang dikongsikan. Kami juga telah memenangi anugerah di Johor dengan projek tanaman sayur-sayuran ini,” katanya semasa di Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan (PKPK) 2023 di sini.
Pengerusi Rukan Tetangga Perumahan Awam Seri Perlis 2, Kuala Lumpur, Latiff Abu Hassan berkata, penganjuran PKPK 2023 melibatkan seluruh komuniti yang menguruskan kebun-kebun komuniti bandar serta dapat berkongsi ilmu kepada orang ramai yang hadir.
“Kami bertukar-bertukar pandangan dan memperoleh ilmu baharu serta dapat menambah kenalan daripada kebun komuniti lain. Saya juga berharap persidangan seperti ini dianjurkan setiap tahun oleh pihak UPM,” katanya.