Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
SERDANG, 25 Sept – Unik dan menarik menjadi persepsi bermain di minda saat pertama kali melihat jagung pulut berwarna ungu yang ditanam di Ladang 15 Fakulti Pertanian (FP) Universiti Putra Malaysia (UPM).
Penolong Pegawai Pertanian FP UPM, Mohd Nazrul Anis berkata jagung tersebut ditanam bagi mempelbagaikan varieti jagung yang ada selain menarik minat para pembeli menerusi projek penjanaan fakulti tersebut.
“Ini merupakan kali pertama penanaman jagung jenis ini di sini dan saya tidak sangka mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pembeli sekitar Serdang. Dalam masa terdekat ini saya akan menanam lagi jagung ini bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Mudah sebenarnya untuk membezakan antara jagung pulut ungu dengan jagung kuning yang biasa ditanam iaitu dengan melihat warna akar, batang dan buahnya. Warna pada akar dan batang pokoknya akan berwarna ungu sama seperti buahnya,” katanya.
Mengulas berkenaan rasa, beliau berkata jagung jenis ini tidak serangup jagung manis kuning dan sedikit liat seperti tekstur pulut.
Selain itu, turut ditanam 50 pokok jagung yang menghasilkan jagung pulut tiga warna (putih, kuning dan ungu) sebagai percubaan tanaman dan ingin melihat permintaan pasaran. -UPM